KEMBARA KERJAYA MDB (Siri 2)
Dari Pencari Kayu Api ke Pengajar al-Quran
Resume pertama kerjaya saya adalah pencari kayu api. Pekerjaan mulia. Disebutkan juga hadith Nabi SAW.
Semasa umur 6 tahun, kami sekeluarga berpindah balik ke Alor Star dari Bedung, Sg Petani. Kami berpindah ke Simpang Kuala atau Batu 13/4, Jalan Sg Korok, Alor Atar. Banyak perubahan telah berlaku. Yang pertama saya hilang kerjaya saya. Di Alor Star, tiada ladang getah. Abah dapat kerja di kantin Maktab Mahmud. Sejak pukul 6.15 pagi, beliau sudah berada di kantin. Saya pula terpaksa ke sekolah darjah satu di awal pagi.
Kata orang, kalau satu pintu rezeki tertutup, akan terbuka pintu rezeki lain. Semasa di Bedung, emak saya mengajar saya belajar al-Quran. Saya dah kenal huruf & pandai baca al-Quran.
Bila di Jln Sg Korok, semasa berumur 7 tahun, saya ditawarkan (baca: dipaksa) emak bagi menolong emak bagi mengajar anak2 murid emak di kawasan kampung belajar mengenal huruf & baca al-Quran. Ada yang sebaya, lebih muda & juga lebih lebih tua dari saya. Berbanding dengan kerjaya pertama, kerja kedua tidak ada gaji. Tak ada fee. Hanya fi sabilillah.
Tak kisahlah tak dapat gaji pun. Tapi saya dapat resume kedua dalam biodata kerjaya saya. Pembantu Pengajar al-Quran, Simpang Kuala. Ini satu penghargaan. Saya dapat penghormatan dari kawan sebaya & lebih tua. Banyak keistimewaan saya dapat dalam permainan kampung.
Saya juga dapat mengurus masa dengan baik. Di samping saya membaca bagi mengkhatam al-Quran yang mulia, saya membahagi masa mengajar dengan teliti sambil anak mata saya melihat tanah lapang tempat kami bermain & guli serta getah dalam poket. Saya adalah orang yang pertama duduk mengaji di atas rumah saya tetapi saya adalah yang terakhir melompat ke atas tanah bermain.
Di waktu itu, saya rasa tak fair sangat. Sekarang, saya bertuah menjadi pembantu guru al-Quran & juga pengurus masa yang baik. Walaupun tidak bergaji, bonus akan dapat di akhirat. Kalau baca satu ayat pun dapat pahala, bagaimana pula ajar mengenal satu ayat.
Kerjalah walaupun tidak bergaji atau kurang gaji kerana ia mungkin pembuka pintu rezeki yang banyak. Lipatan rezeki dah pasti. Kita hanya perlu bekerja.
(foto masuk sekolah darjah satu di Sek. Keb. Sg Korok Baru, Alor Atar, Kedah)
MDB